Selasa, 17 Ogos 2010

Kaedah dalam pembentukan etika

Terdapat dua kaedah atau pendekatan bagi mengukur gerak laku manusia dalam etika sekular barat iaitu kaedah deontologikal dan kaedah teleologikal.Istilah deontologikal diambil daripada bahasa Yunani deontos yang bermaksud tugas atau tanggungjawab.Manakala istilah teleologikal diambil daripada bahasa Yunani juga iaitu telos yang bererti sesudah,selepas ataupun kemudiannya.Teori etika teleologikal dan deontologikal adalah berkaitan dengan prinsip dan peraturan yang memperkatakan apa yang sebaik-baiknya dilakukan dan bukannya apakah jenis manusia yang hendak dibentuk.Dengan ini,didapati para sarjana etika sekular Barat menjelaskan gerak laku manusia pada dua keadaan,iaitu semasa gerak laku (deontologikal) dan selepas gerak laku (teleologikal).

Kaedah teleologikal mengukur etika manusia daripada kesan yang membawa mudarat ataupun manfaat,manakala kaedah deontologikal mengukur perbuatan manfaat ataupun mudarat semasa perbuatan itu berlaku.Teleologikal juga dikenali dengan consequentialism.Ia adalah teori yang mendakwa sama ada suatu tindakan secara moral itu betul ataupun salah adalah bergantung sepenuhnya pada akibat (consequences) atau hasil tindakan itu.Sementara teori deontologikal sejenis etika kepercayaan yang menyatakan kewajipan atau tugas adalah asas pada betul ataupun salah.

Persoalan baik dan buruk ini mengikut dua pendekatan yang berbeza dapat dilihat dalam beberapa contoh.Contohnya,Ali mencuri wang orang kaya bagi membantu orang-orang miskin.Mengikut etika teleologikal,perbuatan yang dibuat oleh Ali betul atau tidak salah kerana niat atau matlamatnya adalah membantu orang-orang miskin.Walau bagaimanapun,bagi etika deontologikal perbuatan itu salah kerana sifatnya adalah tidak baik.Mengambil harta harta orang lain tanpa pengetahuannya adalah tindakan yang tidak dibenarkan oleh masyarakat ataupun undang-undang.Maka dengan itu,kita dapat memahami kedua-dua kaedah dalam pembentukan etika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan