Ahad, 10 Oktober 2010

Contoh Laporan Kursus

NAMA KURSUS : PENGURUSAN ETIKA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

TARIKH : 18-19 JULAI 2010

TEMPAT : DEWAN KOMUNITI, UNIVERSITI UTARA MALAYSIA

PENCERAMAH : CIK ZALEHA BINTI AHMAT

PESERTA

          Peserta peserta kursus adalah  terdiri daripada Mahasiswa Mahasiswi Universiti Utara Malaysia yang terdapat di daerah Sintuk.

PENCERAMAH/PENSYARAH

          Kursus pengurusan etika dalam kehidupan seharian ini telah dikendalikan oleh pensyarah di dalam bidang sains pemikiran dan etika di Universiti Utara Malaysia, Kedah.

YURAN KURSUS

          Semua peserta yang terlibat dikenakan yuran sebanyak RM15.00 sahaja  untuk bahan kursus, bayaran pendaftaran, makan dan sijil penyerta.

PERJALANAN KURSUS

          Kursus berjalan selama dua hari berturut-turut iaitu pada hari rabu dan khamis. Kedatangan para peserta diambil pada setiap sesi kursus. Sijil penyertaan kursus adalah dikeluarkan oleh Universiti Utara Malaysia kepada semua peserta.


KESIMPULAN KURSUS

 
         Secara keseluruhan, kursus pengurusan etika dalam kehidupan seharian ini adalah berjalan dengan lancar. Penyampaian kursus oleh para penceramah turut menggunakan modul kursus seperti yang telah dilampirkan. Modul yang disediakan ini dapat membantu para peserta untuk lebih faham dengan lebih jelas terhadap apa yang disampaikan oleh penceramah kursus. Selain daripada itu, modul ini juga dapat dijadikan panduan dan rujukan peserta selepas berakhirnya kursus.



 
 

          

Rabu, 29 September 2010

Kata Alu-Aluan

Blog ini bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan saya mahupun para pembaca yang ingin mendalami ilmu yang berkaitan dengan pengurusan etika.Dengan ini, adalah menjadi hasrat saya bahawa melalui era globalisasi yang semakin maju ini dengan adanya sistem maklumat yang canggih,dapatlah kita memanfaatkan ilmu pengurusan etika ini dalam kehidupan seharian.

Akhir kata, melalui blog ini, saya akan cuba untuk mencurahkan pemikiran-pemikiran saya, perasaan saya dan tanggapan saya terhadap berbagai peristiwa kemanusiaan yang terjadi di sekitar kita. Saya memohon maaf, jika saya mengemukakan hal-hal yang berkaitan dengan diri saya sendiri atas kesilapan dan kelemahan yang wujud. Saya juga mengucapkan terima kasih secara langsung ataupun tidak langsung kepada yang memberi kerjasama dan sokongan dalam penghasilan blog ini. Semoga Allah merahmati dan meredhai segala usaha yang saya laksanakan.

Terima kasih.

En.Ridzuan Bin Abdul Saleh

Selasa, 24 Ogos 2010

Kepentingan dalam pengurusan Etika

Terdapat empat kepentingan beretika iaitu sebagai fitrah manusia,etika keamanan,etika sebagai lambang status manusia dan etika demi survival tamadun manusia.

Fitrah

Asal kejadian manusia adalah bersih dan murni yang digarapkan dengan akal dan hati sebagai penyuluh jiwa manusia dalam menentukan tingkah laku yang baik ataupun buruk berdasarkan suruhan dan larangan yang diasaskan dalam agama.Sebagaimana Nabi Muhammad s.w.a bersabda:

Setiap bayi dilahirkan dalam fitrah.Ini bermaksud manusia dilahirkan dalam watak yang murni dan tidak berdosa.Ibu bapalah yang membesarkannya sebagai orang Islam ataupun kristian.Keyakinan ibu bapa serta cara mereka berfikir mempengaruhi fikiran si anak yang mudah dipengaruhi.

Keamanan

Keamanan dapat diwujudkan dengan adanya nilai-nilai murni yang terdapat dalam diri.Dengan adanya nilai murni ini masyarakat yang berpegang pada agama itu sebagai panduan dan dasar ikutannya.Manakala masyarakat yang tidak beragama menjadikan akal rasional sebagai panduannya.Apabila nilai agama tidak diikuti maka orang itu akan melakukan perbuatan yang dilarang daripada segi agama dan inilah yang menyebabkan berlakunya masalah sosial yang semakin berleluasa pada zaman ini.

Status manusia

Etika adalah sebahagian daripada cara manusia berurusan dalam kehidupan seharian,maka ia penting pada individu,keluarga,organisasi dan masyarakat serta ia dapat dilihat dalam konteks sejagat yang memberi kepentingan kepada manusia selurunya.

Etika bagi individu,ia perlu mendapat kebaikan fizikal dan ketenangan jiwa dan perasaan serta sihat sejahtera yang membolehkan beliau menjaga dirinya dengan sempurna.Individu yang beretika dapat memelihara dirinya dengan sifat-sifat terpuji dan dipandang dalam masyarakat sebagai orang yang berbudi tinggi.

Bagi etika dalam sesebuah keluarga,setiap ahli keluarga perlu berbuat baik dan menghormati ahli yang lain serta perhubungan dan pergaulan perlu dijaga.Setiap ahli perlu tahu tanggungjawab masing-masing dan menghormati antara satu sama lain serta sekali gus dapat mewujudkan keharmonian dan menjamin keutuhan keluarga.

Etika dalam organisasi sama seperti etika keluarga.Dengan adanya hormat-menghormati,tahu tanggungjawab dan prihatin pada kebajikan masing-masing,maka sesebuah organisasi menjadi kuat serta kukuh.Dengan adanya semua ini,ia dapat meningkatkan lagi produktiviti,kredibiliti dan reputasi sesebuah organisasi,Selain itu,dalam etika masyarakat,dengannya adanya kehidupan yang aman tenteram,keluarga yang utuh dan organisasi yang stabil maka wujudnya masyarakat yang harmoni.

Survival tamadun dunia

Manusia sebaik-baiknya bantu-membantu sesama sendiri dalam mengejar kemajuan dan sebarang perselisihan faham dibawa ke meja perundingan penyelesaian dengan menggunakan senjata canggih mengakibatkan kemusnahan yang teruk pada yang menyerang ataupun di serang.Seperti yang berlaku di Iraq,ramai kaum islam terkorban akibat perbuatan manusia yang hanya mementingkan diri sendiri serta hanya menunjukan dialah yang berkuasa di dunia ini.Mereka hanya menyerang Iraq disebabkan minyak mentah.Apa yang kita tahu,Iraq adalah negara yang mempunyai minyak yang banyak serta pengeluar minyak yang terbesar.Inilah sifat manusia pada zaman ini yang hanya mementingkan keperluan sendiri dengan sanggup membunuh orang lain dan tidak berperikemanusian pada manusia yang lain.

Isnin, 23 Ogos 2010

Kepentingan Etika dalam Kehidupan

Etika penting semasa mengendalikan tatacara kehidupan manusia dalam menguruskan individu,keluarga,organisasi dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan.Justeru,kepentingan etika dilihat dalam konteks sejagat melalui individu,keluarga,organisasi dan masyarakat.

Individu

Individu yang beretika mendapat kebaikan fizikal,ketenangan jiwa dan perasaan.Individu yang beretika juga dapat membina sahsiah diri ataupun keperibadian yang baik kerana beliau memelihara dirinya dengan sifat-sifat yang terpuji.Masyarakat mengiktirafnya sebagai orang yang berbudi tinggi.

Keluarga

Etika memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga yang beretika.Ikatan yang erat berdasarkan etika kekeluargaan yang sedemikian dapat mewujudkan keharmonian.Oleh yang demikian,keamanan dan keakraban rumah tangga dapat menjamin keutuhan keluarga.

Organisasi

Etika berperanan penting dalam menentukan kestabilan organisasi.Ia dapat memelihara nilai-nilai murni organisasi dengan sikap bertanggungjawab dan prihatin pada kebajikan masing-masing.Ia juga dapat memantapkan kestabilan,seterusnya mempertingkatkan produktiviti,meningkatkan kredibiliti dan reputasi serta menjamin perkembangan yang berterusan.

Masyarakat

Kepentingan etika dalam sesebuah masyarakat tidak dapat dipertikaikan kerana ia dapat memelihara keamanan,keadilan dan kesejahteraan yang berterusan.Masyarakat yang beretika juga dapat membentuk persekitaran yang sihat dan menghindari masalah-masalah sosial seperti pembuangan bayi,rompakan,penyeludupan barangan haram dan seumpamanya.

Ahad, 22 Ogos 2010

Perbandingan Teori Etika dan Moral diantara pandangan aliran Barat dan Islam.

Pengertian Etika dan Moral menurut Barat

Teori asal etika adalah berasal daripada teori keperibadian mulia. Aristotle mengatakan bahawa adalah suatu keperluan insan untuk mempraktikkan teori keperibadian mulia dalam segala urusan demi melancarkan urusan sehariannya. Teori ini juga menekankan konsep 'the golden mean' iaitu mencari kebaikan dalam keadaan keseimbangan diantara keinginan ini agar tidak melampau dalam setiap perilaku. Sebagai contoh, sikap ingin membantu orang adalah baik, tetapi tidak lah perlu sehingga digadai kesemua harta kita sama sekali. Moral pula secara umumnya kita mengandauikan sebagai nilai jati dalam diri setiap manusia yang sememangnya ada. namun begitu, intepretasi yang pelbagai bagi setiap manusia sering berlaku dan terjadilah percanggahan nilai moral mengikut setiap peradaban, agama dan bangsa.

Nilai Etika kerja menurut falsafah kerja barat.

Selepas munculnya begitu ramai ahli falsafah barat yang menekankan soal teori dan konseptual, kini datang pula aliran baru yang lebih praktikal. Mereka inilah yang mendasari pemikiran ahli teknologi dalam melaksanakan segala teori sains.


Teori Utilitarian.

Teori ini ialah salah satu aliran dalam teleologis (iaitu teori akibat). Mereka memandang akibat dan natijah baik sebagai matlamat kerja mereka. Ianya diasaskan oleh pemikir Jerman iaitu Jeremy Benthan (1784-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873). Mereka bermaksud kebaikan yang diamksudkan ialah yang terbaik dan untuk dinikmati oleh seramai mungkin faedah tindakan itu. Bagi mereka ungkapan seperti 'jangan menipu' dan 'tepatilah janji' adalah sesuatu yang umum. Hal ini boleh dilanggar sekiranya ada kebaikan yang lebih besar. Teori ini mengakibatkan manusia mula menjadi alat atau komoditi sains. Mereka ingin berfikir semaksima yang mungkin untuk memudahkan manusia dengan mengabaikan beberapa nilai moral yang dikatakan sebagai teori umum. Teori ini telah diserapi dengan nilai 'machavellian' iaitu matlamat menghalalkan cara. Walaubagaimana pun, sikap menepati janji dan berkata benar yang melampau sehingga memusnahkan masyarakat dan sistem pemerintahan Islam juga adalah dilarang dalam Islam. Berjanji dengan golongan 'musuh', bercakap benar dengan 'musuh' secara jelas dilarang di dalam banyak ayat Al Quran. Hal ini sebenarnya memerlukan pertimbangan semasa. Hal inilah yang menjadikan Islam sebagai agama yang waqii'yyah (mengikut zaman dan tempat).


Teori Duty (tanggungjawab)

Teori ini juga dikenali dengan ungkapan teori 'deontologis' iaitu golongan yang tidak percaya dengan akibat. Immanuel Kant (1724-1804) menyatakan bahawa sikap jujur, mengikut arahan, menepati janji serta adil adalah tujuan utama dan bukannya akibat kerja berkenaan. Pada penulis teori ini telah dipraktikkan oleh Laksamana Hang Tuah sekitar pemerintahan Mmpayar Melaka dahulu. Taat yang melulu tanpa melihat akibat peminangan Tun Teja, membunuh rakan sendiri, mengambil mahkota raja di dalam kolam najis dan banyak lagi perilaku yang diungkapkan sebagai taat dan setia adalah suatu yang perlu dinilai semula. Teori ini menghasilkan 'robot-robot' yang taat mengikut arahan programmernya tanpa menilai baik dan buruknya sesuatu arahan. Hal ini dijelaskan dalam Islam apabila konsep taat dan patuh kepada Ibu bapa boleh ternafi apabila si ibu atau si bapa mengarahkan anaknya meninggalkan suruhan Tuhan (seperi solat dan sebagainya).

Jika kita meneliti setiap konsep ini, kita mendapati di dalam Al Quran dan sunnah-sunnah Nabi SAW, ada dinyatakan kesemua elemen ini tanpa memberat-beratkan elemen yang lain. Pemberatan dan penumpuan pemikir Barat tentang teori nilai moral ini adalah disebabkan mereka hanya bergantung kepada akal dan keintelektualan mereka semata-mata, tanpa dipandu oleh Pencipta mereka sendiri iaitu Allah SWT. Inilah kelebihan penganut Islam.


Teori hak asasi.

Teori ini adalah teori umum bagi setiap insan. setipa manusia inginkan kebebasan dan kemakmuran sendiri. Hal ini mengajar manusia agar mempertimbangkan hak orang lain dalam tugasan kerja kita. Dilemma boleh terjadi apabila bertembung dengan kepentingan hak individu tertentu dengan matlamat utilitarian kita yang inginkan kebaikan secara umumnya kepada masyarakat. Di dalam Islam hak dan nilai keperluan peribadi adalah dijamin oleh Islam. Hal ini dunyatakan dalam Maqasid syariah (tujuan syariah) iaitu Islam datang untuk menjaga agama, nyawa manusia, akal manusia, harta manusia dan maruahnya agar tidak dicemari. Hari ini kita melihat manusia sendiri yang memusnahkan nyawanya dengan peperangan, akalnya dengan minum arak serta mencabul maruahnya sendiri apabila mendedahkan auratnya untuk menjadi tontonan orang lain. Di dalam Islam hak asasi kita tidak akan diiktiraf sehingga kita boleh menganggu hak orang lain. Hak kita adalah hak yang dibataskan kepada hak kita semata-mata tanpa memudaratkan orang lain. Teori kesederhanaan Islam meneutralkan nilai kapitalis yang melebarkan perniagaan, pemasaran sehingga boleh menindas orang lain, menekan manusia secara 'halal' tanpa boleh dinafikan (konsep pasaran bebas). Bagi Islam kesemuanya perlu sederhana dan berhemah.


Nilai Etika menurut Al Quran

Menurut Dwight M. Donaldson di dalam bukunya Studies in Muslim Ethics, terdapat beberapa konsep umum tentang etika dan moral yang digariskan oleh Allah melalui Al Quran iaitu :

Duty to Allah : iaitu tanggungjawab dan rasa kehambaan kita kepada Allah. hal ini dijelaskan dalam surah Az Zariat ayat 56.

Moderation : iaitu konsep wasatiyyah atau kesederhanaan. sikap melampau (ghullu) dalam takalluf (memberat-beratkan) serta taa'suf (bermudah-mudahkan) kerja kita adalah dilarang. Kita perlu sederhana dan istiqamah (berterusan) dalam beretika dan menjalankan kerja dengan baik. Islam bukannya agama yang memaksa dan menekan. Sifat 'sawwabit' ( pillar atau teras) adalah disertakan juga sifat 'mutaghaiyyirat' (akomondatif atau anjal) dalam pelaksanaan syariat. Jadi contohilah syariat dalam budaya kerja kita.

Forgiveness : Segala kesalahan di dalam Islam ada pengampunannya. Seperti juga kesalahan dalam berorganisasi, juga perlu mengikuti procedur syarikat untuk mendapat kemaafan. Allah Maha pengampun dan Maha mendengar rintihan hambanya. Begitu juga sikap yang perlu ada pada setiap pengurus manusia yang juga terlibat dalam hal permasalahan sikap dan etika pekerjanya. Walaubagaimanapun bukan semua kesalahan mudah untuk dimaafkan dan diberi keampunan seperti dosa syirik. Dalam syarikat kesalahan membocor rahsia organisasi adalah kesalahan terbesar dan boleh dibuang pekerja berkenaan.

Retaliation : Iaitu konsep pembalasan. Bezanya Islam dan sekular adalah kepercayaan kepada hari kebangkitan. Sikap futuristik Rasulullah dalam menilai akibat dan natijah segala perilaku kita menyebabkan kita akan selalu berjaga-jaga dalam segala urusan. Sekular mengajar manusia melihat dunia dan kemewahan sebagai matlamat. Sekiranya hilang matlamat pembalasan, manusia mula menjadi rakus dan tidak peka dengan nilai moral.

Limited Liability : Ini adalah konsep had pertanggungjawaban. Setiap manusia adalah dipertanggungjawabkan kesalahannya sahaja. Manusia tidak mewarisi kesalahan nenek moyang. Mereka tidak akan ditanya tentang kesilapan orang lain. hal ini menfikan sikap sesetengah manusia yangs ering mengaitkan kepincangan individu terhadap latar belakang sosialnya yang mungkin buruk.

Rewards : Iaitu pembalasan baik dan buruk manusia walaupun sekecil atom yang halus. Hal ini diceritakan dalam surah Al Zilzal (kegoncangan). Nilai anugerah dan pengiktirafan terhadap jasa dan kebaikan individu perlu ada pada setiap pengurus sumber manusia. Inilah yang mengharmoniskan hubungan majikan dan pekerja.

Selepas meneliti nilai moral di dalam Al Quran mari kita 'refresh' kembali pemahaman kita tentang etika menurut Islam. Moral dan etika dalam Islam dibawa pemahaman daripada perkataan akhlak. Akhlak adalah kata jamak (plural) kepada khuluq yang bermaksud tabiat, adab, maruah dan tingkah laku yang baik. Sifat baik di dalam Islam ada yang dinyatakan secara 'direct' dan ada yang diserta dalam ayat-ayat tertentu dan sunnah Nabi SAW. Di antara ayat yang secara langsung menjelaskan terminologi moral adalah:



1) "Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah dan hari akhirat dan segala malaikat dan segala Kitab dan sekalian Nabi dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang dia menyayanginya, kepada kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan dan kepada orang-orang yang meminta dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan dan dalam masa kesakitan dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. (Orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan) dan mereka itulah juga orang-orang yang bertakwa". (Al Baqarah ; 177)



2) "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya" .( Baqarah 83)


Profesionalisme dalam Islam

Dalam pekerjaan profesional seperti Doktor, jurutera serta peguam, mereka mempunyai kod profesional mereka sendiri. Keadaan pengajian mereka yang sukar, memerlukan masa yang panjang untuk dipelajari serta bidang mereka yang menjadi pautan dan dahan pergantungan masyarakat menyebabkan mereka diiktiraf sebagai profesional. Namun begitu, Islam turut menggariskan nilai profesional (ulul Albab) melalui syariatnya secara tidak langsung iaitu :



1) Memiliki keyakinan diri dengan kemampuna yang ada dan bersikap terbuka menyemak dan menghargai pendapat orang lain dan memilihnya yang terbaik.

2) Memiliki ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisa masalah, peka melihat situasi, cepat, tepat dan menghalusi dalam mengambil sesuatu keputusan.

3) Borerientasikan masa hadapan sehingga mampu menguasai perkembangan sekitarnya.

4) Mempunyai ketrampilan di dalam sesuatu bidang dan kemahiran yang diperlukan dalam melaksanakan tugasnya.

Sabtu, 21 Ogos 2010

Etika Negatif dalam pengurusan

Ada dua jenis negatif dalam pengurusan iaitu Jenayah kolar putih dan rasuah.

Jenayah kolar putih ini adalah perbuatan yang melanggar etika pengurusan.Golongan yang melakukan jenayah ini tidak mengendalikan tugas secara jujur dan tidak mematuhi undang-undang.Jenayah kolar putih melibatkan golongan berjawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,ahli-ahli profesional dan berpendidikan tinggi.Antara jenayah kolar putih yang sering dilakukan adalah pecah amanah (criminal breach of trust),penipuan,pemalsuan,pengedaran wang palsu dan penyalahangunaan kad kredit.Penjenayah-penjenayah itu berbuat demikian disebabkan hutang yang banyak,kalah dalam perjudian,terlampau aktif dalam pelaburan saham,dan mengamalkan corak hidup mewah.

Manakala jenayah Rasuah pula melibatkan dua pihak iaitu pihak memberi dan menerima suapan sebagai ataupun dorongan ataupun upah ataupun galakan supaya melakukan ataupun tidak melakukan tindakan.Wang yang dikenali sebagai kickback adalah alat penting dalam amalan rasuah.Ada juga rasuah dalam bentuk hadiah berharga,keraian,hamper,lawatan dan sebagainya.Rasuah mendatangkan keuntungan kepada pihak pemberi dan penerima.Jenayah yang dilakukan secara ini sukar dikesan kerana dilakukan secara sulit.Namun ia meninggalkan pekbagai kesan pada individu,masyarakat dan negara.Salah satu kesan rasuah adalah ia membebani pengguna yang secara tidak langsung 'membiayai' rasuah itu,disamping menerima produk yang tidak berkualiti.Lantaran itu,segenap lapisan masyarakat perlu memberikan kerjasama kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi menangani gejala ini.

Jumaat, 20 Ogos 2010

pengurusan Etika dalam perniagaan

Etika perniagaan perlu ditegaskan bagi membasmi dan memelihara pengurusan perniagaan daripada berlakunya kecurangan dan pelanggaran hak masyarakat.Oleh itu,etika perniagaan diperlukan bagi menjamin semua unsur ini berada dalam keadaan harmoni yang akhirnya memberi keuntungan kepada semua pihak.Secara umumnya,tujuan etika perniagaan adalah memelihara hubungan,mengawal tungkah laku dan mengelak campur tangan luaran.

Masalah etika melanda masyarakat hampir sepanjang zaman dalam setiap aspek kehidupan,termasuklah juga urusan perniagaan.Apa yang sering berlaku di kalangan peniaga adalah sungutan mereka terpaksa memberi sogokan apabila mereka hendak mendaoatkan projek.Juga sering didengar oleh kita,projek yang dilaksanakan itu tidak siap mengikut masa yang ditetapkan,tidak memenuhi spesifikasi-spesifikasi yang dikehendaki dan lain-lain lagi.di samping itu,para pelanggan juga sering ditipu apabila membeli barangan seperti durian,cempedak,tembikai,dan lain-lain.Kerapkali kita dapati barang itu tidak sebaik yang kita inginkan,walaupun semasa kita membeli,kita diberi pelbagai jaminan yang menyakinkan.

Perkara-perkara seperti ini berlaku secara berleluasa,ia dilakukan dengan cara dan perancangan yang teliti sehingga sukar dikesan ataupun dibawa ke mahkamah.justeru,walaupun hukuman berat dijatuhkan,jenayah masih lagi berlaku dengan berleluasa.Dalam keadaan seperti ini,Islam menentukan supaya setiap orang yang hendak melakukan perbuatan perlu mengetahui apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan,sebelum mereka menceburkan diri dalam hal ini.

Khamis, 19 Ogos 2010

Etika Pengurusan Islam

TERAS PENGURUSAN ISLAM

Teras pengurusan Islam bukan berdasarkan gagasan pemikiran manusia tetapi ia berasaskan ajaran Islam itu sendiri. Ajaran Islam terangkum dalam tiga asas utama, iaitu:

• Aqidah
• Syariat
• Akhlak

Ketiga-tiga asas ini adalah teras kepada pengurusan Islam. Daripada teras ini melahirkan falsafah pengurusan.


FALSAFAH PENGURUSAN ISLAM

Falsafah merupakan dasar sesebuah organisasi. Ia dianggap sebagai panduan bagi sesebuah sistem yang daripada sistem tersebut akan lahir pula konsep-konsep yang akan mendokong sistem tersebut.Manakala Falsafah pengurusan Islam bukan berdasarkan gagasan pemikiran manusia tetapi ia berasaskan paradigma TAUHID. Tauhid merupakan inti ajaran Islam dan sebagai paksi kepada segala aktiviti manusia

TAUHID ialah:

“Keterikatan perhambaan manusia kepada Tuhan (Allah SWT) yang satu dan menafikan keterikatannya dengan tuhan-tuhan yang lain. Tauhid merupakan perlambangan pergantungan manusia kepada Allah SWT secara total. Seluruh ketaatannya hanya kepada Allah SWT bukan unsur yang lain”

Tauhid yang dimaksudkan di sini ialah tauhid dari sudut i’tikad (kepercayaan), ilmi dan suluki (tingkah laku). Seseorang itu hendaklah beriman kepada Allah yang tunggal dari segi zat, sifat dan perbuatan-Nya tanpa sekutu dan penyerupaan, Ia tiada mempunyai anak, Ia pula tidak diperanakan dan tiada mempunyai bapa dan tidak ada sesiapa (sesuatupun) yang setara dengan-Nya (al-Quran Surah al-Ikhlas ayat 3-4).

Demikian juga dari sudut qasad (niat) dan amal di mana seseorang hendaklah mentauhidkan Allah swt dengan ‘ubudiyyah (pengabdian) yang sempurna, serta diberikan ketaatan yang mutlak, tunduk, bertaubat, bertawakal, takut dan harap hanya kepada-Nya.

Asas ketauhidan kepada Allah:

• Iman
• Ilmu
• Amal

Apabila disiplin dan bidang pengurusan didasarkan kepada kerangka tauhid, maka ketiga-tiga elemen ini seharusnya ada di dalam aplikasi pentadbiran. Melalui implementasi ketiga-tiga asas ini dengan penuh tanggungjawab, keistimewaan Islam dan pengurusan Islam akan dapat dirasai oleh selurh masyarakat. Kebaikan yang dibawa akan dinikmati oleh seluruh manusia.

Bagaimana kita mengaplikasi ketiga-tiga asas tersebut dalam pengurusan?

Pendekatan tauhid dalam pengurusan menekankan tiga bidang utama, iaitu:

• Penekanan terhadap diri insan iaitu manusia sebagai pelaku utama;
• Penekanan dan kefahaman terhadap hakikat aktiviti yang dilakukan (amal); dan
• Memahami hakikat organisasi di mana ia berada.


2.2.1 Hakikat Insan

• Memahami sifat semulajadi manusia; asal-usul, kenapa ia dijadikan, peranan @ tanggungjawab, keistimewaannya sebagai makhluk terpilih, kekuatan, kelemahan, musuh, matlamat dan tujuan hidup yang terakhir.

• Memahami dan menginsafi perkara-perkara tersebut akan dapat mewujudkan sebuah institusi yang sesuai dan selari dengan fitrah manusia.

• Fitrah manusia – suci bersih – Allah SWT

• Tidak memahami akan wujud penyelewengan.

• Berlaku pertarungan antara kebenaran dengan kesesatan.


2.2.2 Hakikat Amal (Perlakuan Manusia)

• Memahami sifat semulajadi manusia membawa kepada memahami dan sedar tanggungjawab @ tugas yang perlu dipikul; HAMBA dan KHALIFAH.

• Perlakuan manusia ialah AMAL iaitu kerja yang diusahakan. Kerja tersebut menjadi ibadah apabila:

o Niat kerana Allah
o Sesuai dengan syariat – rezeki yang halal
o Mengutama dan tidak meninggalkan yang fardu
o Membina dan membentuk masyarakat bertamadun

• Memenuhi/menyempurna tugas manusia sebagai HAMBA dan KHALIFAH di muka bumi.

• Sebagai hamba, manusia
• Sebagai khalifah. manusia



2.2.3 Hakikat Organisasi

• Organisasi atau institusi samada kecil atau besar ialah tempat di mana seseorang individu itu berada. Mereka mencari dan menabur bukti atau usaha dengan memberi sumbangan dan memperoleh pendapatan.

• Organisasi ini mestilah selari dengan hakikat insan dan hakikat amal/perlakuan manusia.

• Budaya agama menjadi teras/tunjang dalam semua aktiviti.

Paradigma tauhid menjadi tunjang kepada para pengurus dalam menentukan sikap, watak dan perlakuan mereka terhadap tugas, rakan sejawat, jabatan dan organisasi dll dengan memahami tuntutan.

Para pengurus samada peringkat tertinggi, pertengahan atau bawah akan berusaha melaksanakan yang terbaik dan menegakkan keadilan kerana mereka sedar semua aktiviti yang mereka lakukan akan diadili diakhirat kelak. Serentak dengan itu kezaliman, penindasan, penyelewengan akan dihapuskan kerana ini semua bertentangan dengan falsafah:
• Tauhid Uluhiyyah
• Tauhid Rububiyyah
• Tauhid Asma wa al-Sifat

Tauhid Uluhiyyah mengkehendaki manusia yakin dan percaya bahawa Allah Maha Esa dan menumpukan seluruh pengabdian hanya kepada-Nya. Dengan itu ia tidak akan tunduk kecuali kepada Allah. Ia menyedari bahawa ia merupakan seorang hamba. Segala undang-undang, arahan, peraturan, prosedur dan sebagainya akan digubal sesuai dengan kehendak syariat demi untuk menyelamatkan dirinya dan manusia lain dari kemaksiatan.

Dalam konteks Tauhid Rububiyyah pula, ia yakin dan percaya bahawa Allah Pemilik segala-galanya. Dia yang menghidup dan mematikan, pemberi rezeki, pengurus, pentadbir dan penguasa alam seluruhnya. Dengan itu segala apa yang dimiliki adalah amanah yang akan dipersoalkan di kemudian hari. Menyedari bahawa jawatan, harta dan apa yang dimiliki itu merupakan amanah, pengurus sebagai seorang manusia akan mengimplementasikan konsep amanah tersebut dalam pengurusannya.
Manakala Tauhid Asma wa al-Sifat pula, ia yakin dan percaya bahawa Allah Maha Berkuasa memiliki nama dan sifat yang baik-baik. Sumber segala ilmu dan mendidik manusia supaya menguruskan alam ini dengan berpandukan ilmu yang benar bukannya ilmu yang berasaskan akal semata-mata. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-’Alaq ayat 1 – 5.

Kesimpulan.

Pengurusan Islam yang berasaskan falsafah tauhid menyediakan ruang kepada manusia untuk melahirkan rasa tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah kepada Allah s.w.t. Mereka melakukan aktiviti berasaskan prinsip-prinsip yang dibenarkan dengan menyedari semua aktiviti tersebut akan dipertanggung jawabkan kepada mereka di akhirat kelak.

Rabu, 18 Ogos 2010

Pengurusan etika yang baik

Secara umumnya ciri-ciri dan pengurusan etika yang baik dapat disenaraikan seperti dibawah:

1.Amanah
~menggunakan masa dengan efisien dan efektif.
~Membelanjakan harta awam mengikut peraturan yang ditetapakan.
~Tidak melakukan penipuan,penyelewengan dan rasuah.
~Menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.
~Tidak melakukan kerja-kerja peribadi dengan berselindung di sebalik kerja-kerja rasmi.

2.Bersih
~Mengawalkan sikap saling membantu dengan rakan-rakan sekerja.
~Memelihara rupa diri dengan pakaian yang kemas ke pejabat.
~Menggunakan tutur kata denga teratur dan bersopan santun.
~Menjauhkan diri dari sebarang perlakuan yang keji,seperti pecah amanah dan penipuan.

3.Berdedikasi
~Melaksanakan kerja tanpa mengharapkan upahan tambahan,ganjaran dan puji-pujian.
~Melaksanakan setiap tugasan dengan cepat,berkesan dan berkualiti.
~Bersedia menerima nasihat,teguran dan tunjuk ajar.

4.Berdisiplin
~Patuh dan taat kepada peraturan dan arahan.
~Berpegang teguh dalam ajaran agama.
~Sentiasa menjaga imej dan maruah diri dan pejabat.
~Menghasilkan kerja yang cemerlang.

5.Bertanggungjawab
~Melaksanakan kerja dengan bersungguh-sungguh dan sempurna.
~Merasa bersalah apabila tidak disempurnakan tugas yang dipikul mengikut tahap piawaian.
~Menjaga maruah agama dan negara.

6.Bersopan-santun
~Menerima kunjingan pelanggan dengan mesra.
~Memberi perkhidmatan dengan cepat dan tepat.
~Melafazkan ucapan yang membuatkan pelanggan merasa dirinya dihargai.

7.Syura (permesyuaratan)
~Mengkaji kedudukan semasa melaksanakan projek.
~Mengenal pasti masalah yang dihadapi.
~Mengambil tindakan bagi mengelakan tunggakan kerja.
~Menentukan tindakan penyelesaian.

8.Adil
~Memilih permohonan yang benar-benar layak dan berkebolehan bagi sesuatu jawatan.
~Mengesahkan jawatan kakitangan yang layak dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
~Mengetahui dengan jelas tugas-tugas yang dilaksanakan oleh kakitangan bawahan sebelum membuat penilaian prestasi.

9.Berintegeriti
~Mengutamakan kepentingan awam lebih dari kepentingan diri.
~Menepat janji dan masa.
~Tidak suka pembaziran.
~Tidak menggunakan kemudahan pejabat bagi urusan peribadi.

10.Berilmu
~memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang yang relevan.
~Bertindak dengan berasaskan ilmu bagi mewujudkan keadilan dalam semua aspek kehidupan.
~Berusaha mencari ilmu dan fikiran seperti yang dituntut oleh agama.
~Bersedia mengikut seminar,kursus,perbincangan bagi meningkatkan pengetahuan,kemahiran dan kecekapan.

Selasa, 17 Ogos 2010

Kaedah dalam pembentukan etika

Terdapat dua kaedah atau pendekatan bagi mengukur gerak laku manusia dalam etika sekular barat iaitu kaedah deontologikal dan kaedah teleologikal.Istilah deontologikal diambil daripada bahasa Yunani deontos yang bermaksud tugas atau tanggungjawab.Manakala istilah teleologikal diambil daripada bahasa Yunani juga iaitu telos yang bererti sesudah,selepas ataupun kemudiannya.Teori etika teleologikal dan deontologikal adalah berkaitan dengan prinsip dan peraturan yang memperkatakan apa yang sebaik-baiknya dilakukan dan bukannya apakah jenis manusia yang hendak dibentuk.Dengan ini,didapati para sarjana etika sekular Barat menjelaskan gerak laku manusia pada dua keadaan,iaitu semasa gerak laku (deontologikal) dan selepas gerak laku (teleologikal).

Kaedah teleologikal mengukur etika manusia daripada kesan yang membawa mudarat ataupun manfaat,manakala kaedah deontologikal mengukur perbuatan manfaat ataupun mudarat semasa perbuatan itu berlaku.Teleologikal juga dikenali dengan consequentialism.Ia adalah teori yang mendakwa sama ada suatu tindakan secara moral itu betul ataupun salah adalah bergantung sepenuhnya pada akibat (consequences) atau hasil tindakan itu.Sementara teori deontologikal sejenis etika kepercayaan yang menyatakan kewajipan atau tugas adalah asas pada betul ataupun salah.

Persoalan baik dan buruk ini mengikut dua pendekatan yang berbeza dapat dilihat dalam beberapa contoh.Contohnya,Ali mencuri wang orang kaya bagi membantu orang-orang miskin.Mengikut etika teleologikal,perbuatan yang dibuat oleh Ali betul atau tidak salah kerana niat atau matlamatnya adalah membantu orang-orang miskin.Walau bagaimanapun,bagi etika deontologikal perbuatan itu salah kerana sifatnya adalah tidak baik.Mengambil harta harta orang lain tanpa pengetahuannya adalah tindakan yang tidak dibenarkan oleh masyarakat ataupun undang-undang.Maka dengan itu,kita dapat memahami kedua-dua kaedah dalam pembentukan etika.

Isnin, 16 Ogos 2010

Konsep-konsep Pengurusan Etika

Konsep Etika

Etika bermaksud ukuran dan piawaian yang digunakan bagi membezakan kelakuan individu sama ada baik ataupun buruk,menyenangkan ataupun tidak menyenangkan.Perkataan etika berasal daripada perkataan Greek iaitu ethos yang membawa maksud perangai,cara hidup ataupun adat resam.Oleh itu,etika boleh ditakrifkan sebagai kajian sains berkenaan kelakuan manusia dalam masyarakat.Ia adalah bidang pentafsiran tingkah laku manusia sebagai benar ataupun salah,baik ataupun buruk dan patut ataupun sengaja.kayu ukur yang digunakan oleh pengkaji adalah set peraturan tingkah laku,undang-undang ataupun kod etika yang digubal bersama oleh ahli-ahli masyarakat itu.Tujuan utama garis panduan tingkah laku ini adalah mengawal,menjamin dan melindungi segala tingkah laku yang bermoral.Tindakan manusia dapat dilihat secara tindakan yang sengaja iaitu tindakan yang dilakukan dengan niat ataupun tujuan yang tersirat.Tindakan tidak sengaja pula adalah tindakan yang dilakukan tanpa disedari ataupun dikawal oleh psikomotor.Contohnnya orang yang sentiasa mengelip-ngelipkan matanya.Dalam bidang tingkah laku pula,orang itu boleh bertindak secara khayalan mental ataupun separuh kesedaran.Ini termasuk motif,kebangkitan nafsu dan niatnya.Tindakan luaran pula termasuk gerak geri fizikal badan dan perwatakannya.Tingkah laku yang dikaji termasuk tingkah laku individu dan pengaruhnya dalam masyarakat.


Konsep Moral

Moral dapat ditakrifkan sebagai tingkah laku ataupun amalan yang sejajar dengan tatasusila dan undang-undang masyarakat.Tatasusila dan undang-undang masyarakat Malaysia merangkumi segala nilai murni seperti adil,baik hati,berdikari,berhemah tinggi,hormat-menghormati,sayang-menyayangi,kebebasan,keberanian,kebersihan fizikal dan mental,kejujuran,kerajinan bekerjasama,kesedarhanaan,kesyukuran,berfikiran secara rasional dan memupuk semangat kemasyarakatan.Amalan ataupun tindakan yang dikatakan bermoral pula boleh dilihat daripada segi tindakan balas atau reaksi individu pada situasi-situasi berikut:

1. Pengawalan diri pada keinginan nafsu ataupun dapat menahankan diri daripada
melakukan tingkah laku yang dianggap salah.

2. Kawalan ke atas keperluan fizikal yang berdasarkan peraturan-peraturan
masyarakat yang diterima secara rasional.

3. Bertindak secara rasional pada keputusan moral yang melibatkan pentafsiran
berkenaan tindakan yang dikatan betul.Pentafsiran ini dilakukan dengan adanya
maklumat ataupun pengetahuan yang mencukupi dan dihuraikan dengan pemikiran
secara objektif ataupun kritik.

4. Sentiasa menjaga dan bertindak dalam keadaan yang berdisiplin serta
menghayati standard hidup yang dicapai oleh sosioekonomi masyarakat.


Konsep Akhlak

Etika daripada perspektif Islam dikenali sebagai akhlak,berasal daripada perkataan Arab,jamak kepada perkataan khuluq.Pengertian akhlak menurut bahasa bermaksud tabiat,adat maruah,sifat semula jadi dan gambaran batin individu,Berdasarkan definisi itu,Dr.Miqdad Yaljin merumuskan akhlak kepada tiga aspek:

1. Sifat semula jadi yang dimiliki secara fitrah.

2. Sifat yang dimiliki melalui latihan yang akhirnya diterima sebagai adat
ataupun tabiat.

3.Akhlak melitupi dua dimensi,batin iaitu kejiwaan dan zahir iaitu kelakuan.

Daripada segi istilah,akhlak bermaksud keadaan jiwa yang menerbitkan tingkah laku dan perbuatan manusia.Menurut Ibnu Miskawaih,akhlak adalah keadaan jiwa yang menggerakakan manusia melakukan perbuatan tanpa pertimbangkan fikiran.Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

1. Secara natural atau tabii seperti perasaan cepat marah.

2. Melalui latihan dan kebiasaan yang melalui dua peringkat iaitu:
*Peringkat pertimbangan dan pemikiran yang teliti.
*Peringkat mempraktikan sesuatu kebaikan sehingga menjadi kebiasaan dalam
amalan hidup.

Begitu juga al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa yang membentuk perbuatan dengan mudah dan tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu.Ringkasanya,perkataan akhlak mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Aspek batin ataupun keadaan jiwa sebagai tenaga penggerak ke arah
pembentukan tingkah laku.

2. Aspek luaran yang melibatkan tingkah laku yang dilakukan bukan kerana
tekanan emosi ataupun desakan-desakan luar seperti paksaan.

3. Perbuatan yang dikehendaki menjadi tabiat perlu diamalkan secara berterusan
supaya ia menjadi sebati dalam kehidupan.

Ahad, 15 Ogos 2010

Pengenalan Etika

Kemahiran pengurusan yang baik memainkan peranan yang penting dalam sesebuah organisasi.Namun,perkembangan kemahiran pengurusan sahaja tidak mencukupi.Tidak kurang pentingnya penekanan yang seimbang diberikan kepada penerapan dan pengambilan nilai-nilai positif serta beretika.Pengurus-pengurus yang tidak memperaktikan nilai-nilai kerja yang cemerlang,walaupun mereka mahir dalam proses pengurusan,memberikan kesan yang yang merugikan organisasi masing-masing.Justeru itu,setiap pengurus perlu membimbing para pekerjanya bagi mencapai perkhidmatan yang cemerlang dengan berazam bagi meningkatkan mutu kerja mereka secara berkerja dengan penuh tanggungjawab,berusaha mengikis sikap mementingkan diri,berkhidmat dengan penuh kemesraan,berkerjasama membanteras kelemahan dan berpegang kepada ajaran islam.

Selain itu,etika juga adalah sebahagian daripada bidang falsafah yang berkaitan dengan kehidupan yang baik,menjadi orang baik,melakukan perkara yang betul,dapat bergaul dengan orang lain dan memerlukan perkara yang betul dalam hidup.Ia juga dikatakan ilmu yang membincangkan berkenaan teori tingkah laku manusia yang dipandang daripada sudut baik dan buruk yang dapat ditentukan oleh akal manusia.Etika mempunyai tanggungjawab menganalisis,menilai dan mengembangkan norma-norma,kriteria-kriteria moral bagi menyelesaikan masalah-masalah moral.Ia juga adalah teori yang berkaitan dengan tindakan,hujah-hujah dan tujuan yang diarahkan kepada makna sesuatu tindakan.Ia juga dikenali sebagai falsafah moral yang tidak berkaitan dengan fakta ataupun fizikal manusia tetapi sebagai falsafah nilai yang mengambil kira tindakan ataupun tingkah laku.

Selain itu juga,etika bermaksud suatu ukuran dan piawaian yang digunakan bagi membezakan kelakuan seseorang sama ada baik ataupun buruk.Perkataan etika juga berasal daripada perkataan Yunani ethos yang membawa maksud perangai.Dalam perkataan Latin pula,etika etika dikenali sebagai mores yang bermaksud moral ataupun perangai.Ia juga didefinisikan sebagai adat atau kebiasaan.Moral lebih sesuai dengan idea-idea umum bagi diterima pakai dalam tindakan manusia.Persoalan itu mencakupi perbuatan yang baik dan wajar berhubung dengan etika.Manakala etika lebih bersifat teori bagi menyelidik,memikir dan mempertimbangkan perkara yang baik dan buruk.Tegasnya,etika memandang kelakuan dan perbuatan manusia secara universal.Sedangkan moral pula dibentuk oleh etika yang lahir dengan kelahiran manusia.

Manakala Definisi pengurusan pula ialah Pengurusan terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih orang atau entiti untuk tujuan menyeleraskan dan mengharmonikan kumpulan tersebut untuk mencapai sesuatu matlamat. Ia seringnya merangkumi penggunaan sumber-sumber manusia, kewangan, dan teknologi, serta juga sumber alam semula jadi. Pengurusan juga boleh merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan.

Sabtu, 14 Ogos 2010

Prakata.

Sirih berlipat sirih pinang
Sirih dari Pulau Mutiara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Bismillahirrahmanirrahim….
Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh…

Atas saranan pensyarah maka hari ini saya menciptakan blog saya, sebagai wahana komunikasi bertukar fikiran secara jernih, intelektual dan rasional, atas dasar prinsip saling hormat-menghormati, saya menghasilkan blog pengurusan etika sebagai rujukan umum setiap lapisan masyarakat dan khusus buat insan yang mendalami ilmu berkaitan dengan falsafah dan etika. Melalui blog ini, saya ingin berkongsi pengetahuan, pengalaman dan gagasan, yang berkemungkinan akan bermanfaat untuk menambah wawasan dalam memahami berbagai peristiwa yang terjadi di sekeliling kita.

Pengenalan kepada pengurusan etika ini membincangkan kepada bidang falsafah yang berkaiatan dengan kehidupan yang baik,menjadi orang baik,melakukan perkara yang betul,dapat bergaul dengan orang lain dan memerlukan perkara yang betul dalam hidup.ilmu ini juga membincangkan berkenaan teori tingkah laku manusia yang dipandang daripada sudut baik dan buruk yang dapat ditentukan oleh akal manusia.

Blog ini juga menjelaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan etika dalam islam dan secara tidak langsung dapat kita memahami bahawa pentingnya etika ini dalam setiap kehidupan.Insya-Allah! Saya cuba memenuhi apa yang kita dapat pelajari dari blog pengurusan etika ini. Walaupun saya bukan orang yang hebat, tetapi tidak salah untuk meniru orang yang hebat dengan mempermudah penyampaian mesej menerusi blog ini.

Di samping itu, saya juga berharap semoga para pembaca dapat mempertingkatkan ketekunan dalam usaha menimba ilmu, terutama untuk mencapai kecemerlangan dalam sudut beretika. Sesungguhnya, ilmu dan pengetahuan akan menjadi perangsang yang sangat berguna dalam hidup sepanjang zaman.


Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput dari padi
Hari mana bulan mana
Dapat kita berjumpa lagi

wassalam.

En.Ridzuan Bin Abdul Saleh